Monday, April 9, 2012

Zakat Wang Kertas Tak Sah

Zakat Sebenarnya Hanya Diterima Dengan Dinar Emas dan Dirham Perak, Bukannya Wang Kertas!

Pelancaran Matawang Syariah Dinar dan Dirham di Kota Bahru, Kelantan pada 2 Ramadhan 1431H (12 Ogos 2010) lalu menandakan berakhirnya darurat untuk orang Islam untuk pengambilan dan pembayaran zakat di samping titik permulaan untuk kembalikan semula Muamalat sebagai asas asas deen ul-Islam.

Dinar ialah syiling emas 22 karat (917/916) seberat 4.25 gram manakala Dirham ialah syiling perak tulen (999) seberat 2.975 gram. Timbangan ini dikenali sebagai Piawaian Umar Al-Khattab, Khalifah Islam kedua dan disetujui jumhur ulama serta digunakan sejak permulaan Islam lagi.

Kedudukan dwilogam ini sebagai matawang Syariah dijelaskan Ibn Khaldun dalam kitabnya, al Muqaddimah: "Asas nas dan dalil menyebut dan kaitkan banyak penghakiman kepada kedua-duanya, contohnya zakat, nikah kahwin, hudud dan lain-lain, oleh itu dalam nas dan dalil ia ada kepentingan tersendiri dengan ukuran tertentu untuk penilaian (zakat dan lain-lain) di mana hukum diasaskan berbanding (syiling-syiling lain) yang bukan syarie.

Maka sangat jelas, pengambilan dan pembayaran zakat hendaklah menggunakan matawang syariah iaitu dinar dan dirham terutama berkaitan zakat harta. Zakat harta merujuk kepada emas dan perak dalam semua bentuk dan barang dagangan. Jumlah nisab dan zakat harta ialah 20 dinar emas (85 gram) dan 200 dirham perak (595 gram). Bagi setiap 20 dinar, zakat ialah 1/2 dinar dan bagi setiap 200 dirham, zakat iaah 5 dirham. Ukuran di sini ialah beratnya.

Dua jenis zakat harta iaitu simpanan dan perniagaan Keuntungan pelaburan juga dikenakan zakat. Pada masa ini, wang kertas digunakan untuk membayar zakat kerana ianya sah diperlakukan melalui paksaan undang-undang sehinggakan pihak berkuasa pun akur kepada undang-undang itu walaupun mereka sebenarnya tidak terikat kepadanya. Menurut Imam Malik ibn Anas, wang dalam Islam ialah apa saja barangan diterima umum sebagai bahan perantaraan mereka dan tidak ada barangan boleh dipaksakan sebagai wang. Jelaslah wang kertas tidak memenuhi syarat sebagai wang. Ia bukan barangan diterima umum, tetapi undang-undang memaksa kita guna, malah dicipta atas angin, tiada sandaran dan bukan surat hutang. Ia hutang yang ada padanya Riba!

Menurut buku Shaykh Abdalhaq Bewley - Zakat Raising The Fallen Pillar...walaupun begitu, wang kertas masih tidak boleh digunakan untuk bayar zakat kecuali guna syiling emas dan perak yang dituntut syariah kerana tidak ada bukti barangan lain diterima untuk bayaran zakat dan tidak susah mendapatkan emas dan perak untuk penuhi kewajipan itu.

Telah berkata Imam Shafie di dalam kitabnya Ar Risalah: "Tiada harus diqias dengan emas dan perak atas yang lain daripada keduanya pada wajib zakat"

Menurut Imam Abu Bakr al-Kasani dalam kitabnya Bada'i al-Sana'i, zakat mesti dibayar dengan barangan 'ayn dan tidak boleh dibayar dengan dayn iaitu hutang, tanggungan atau mahupun nota janji. Satu bentuk zakat lagi ialah Zakat Fitrah. Amalan zaman Rasulullah S.A.W, zakat fitrah dibayar guna bahan makanan asasi seperti gandum, barli, beras, dan lain-lain. Ukuran di sini ialah timbangan dan bukan harga. Bagaimanapun menurut Imam Abu Hanifah, harus dikeluarkan zakat fitrah dengan wang seharga atau senilai dengan makanan wajib dikeluarkan zakat. Menurutnya zakat fitrah adalah hak fakir miskin.Untuk memenuhi hajat mereka boleh dengan makanan dan boleh juga dengan wang. Bagaimanapun, wang yang disebut oleh Imam Abu Hanifah itu bukanlah wang kertas, tetapi dinar emas dan dirham perak yang digunakan semasa pemerintahan Khalifah Uthmaniyah (di mana mazhab Hanafi menjadi pegangan) sehinnga ia jatuh pada 1924.

Kita berada dalam keadaan darurat kerana kerajaan-kerajaan dipimpin oleh orang Islam sendiri mengeluarkan wang kertas yang dimaktubkan dalam undang-undang negara yang diperkenalkan oleh bekas penjajah masing-masing. Dalam Islam, darurat ialah satu keadaan membolehkan sesuatu hukum itu dilonggarkan untuk sementara. Apa yang biasanya diharamkan menjadi harus, tetapi kita tidak boleh untuk berada dalam keadaan darurat untuk selama-lamanya.

Apa yang perlu dibuat ialah usaha keluar dari keadaan itu. Surah At-Talaq ayat 3, Allah berfirman maksudnya; "Dan (Allah) akan memberinya rezeki dengan tiada terkira. Barang siapa menyerahkan diri kepada Allah, maka Allah akan mencukupkan (memeliharanya). Sungguh Allah menyampaikan (melangsungkan) urusan Nya. Sungguh Allah mengadakan satu kadar (aturan yang tertentu) bagi tiap-tiap sesuatu"

Berasaskan kefahaman kita mengenai sifat sebenar wang kertas dan ada pula matawang syariah, maka tempoh darurat sudah berakhir. Orang Islam yang ingin membayar zakat dengan sempurna hendaklah melakukannya dengan dinar dan dirham. Kini, menjadi tuntutan ke atas semua Mufti 13 negeri dan 3 Wilayah Persekutuan Malaysia untuk mengkaji dan mengambil langkah perlu bagi memastikan bukan sahaja pengambilan zakat malah pengagihannya dibuat dalam mata wang syariah.

Rakyat Kelantan telah melakar sejarah dunia dan ia satu teladan semestinya dicontohi. Mengembalikan pengambilan dan pembayaran zakat dengan cara tepat akan membolehkan kita mendirikan semula tiang zakat yang telah runtuh.

Artikel asal oleh
Khalid Noorshah

Dimuatkan di dalam Akhbar Sinar Harian edisi Utara
29 Oktober 2010

No comments:

Post a Comment