Monday, September 20, 2010

Elsie Jian -Bidayuh Chinese Muslim



(Nur Athirah Elsie Jian sacrificed her job in the hotel industry just to learn more about islam after syahada at the age of 32. Coming from Sarawak, east Malaysia from a mixed chinese-native -Bidayuh may be-she also left christianity and firmly faced her family reaction. Alhamdulillah, she was helped by good teachers and friends, then met her future husband to complete her beautiful deen and life journey !)

NUR Athirah termenung panjang. Fikirannya menerawang mengingat kepada lima remaja Islam yang baru dilintasi tadi.

Entahlah, hatinya jadi tidak keharuan. Pelbagai perasaan silih berganti dalam sanubarinya. Ada rasa geram, marah dan sedih. Kadang-kadang dipujuk hatinya supaya banyakkan beristighfar dan mohon perlindungan Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Namun, ada ketikanya, perasaan itu datang kembali.

Begitulah rintihan hati Nur Athirah Elsie Jian, 37, lebih-lebih lagi semenjak mengucap dua kalimah syahadah kira-kira lima tahun lalu. Bukan kehendak hatinya untuk menyinggung perasaan mana-mana pihak terutamanya mereka yang dilahirkan Muslim. Tetapi itulah hakikatnya.

Nur Athirah selalu bermonolog di dalam dirinya. Mengapa ini berlaku? Tidakkah mereka sedar perbuatan mereka memberi imej buruk kepada agama Islam? Tak takutkah mereka kepada Allah dan hari pembalasan? dan apa yang mampu aku lakukan, Ya Allah? Semuanya rentetan daripada sikap alpa serta mengambil kesempatan terhadap rahmat dan nikmat yang Allah kurniakan selama ini.

Sedangkan telah banyak dilihat daripada lipatan sejarah umat terdahulu tentang bala yang Allah turunkan akibat kemungkaran yang dilakukan. Lantaran itu, anak kelahiran Serian, Sarawak ini meletakkan syarat untuk tidak memeluk agama Islam selagi belum mengenali dan memahami agama tersebut.

Meskipun akui Nur Athirah, agama Islam bukanlah asing bagi dirinya kerana sebagai anak seorang anggota tentera, pergaulan dengan masyarakat Melayu Islam sedikit sebanyak mendedahkannya kepada agama anutan majoriti umat Islam di negara ini. Apatah lagi, beliau tidak mahu dituduh bergelar Muslim kerana hendak berkahwin atau pelbagai tohmahan yang lumrah dilemparkan kepada golongan mualaf.

Sebenarnya, Nur Athirah tertarik dengan agama Islam sejak dahulu tetapi pada masa yang sama beliau aktif dengan kerja-kerja di gereja sebagai pengikut setia agama Kristian. Sayangnya, mungkin tidak bertemu dengan orang yang dapat menerangkan tentang Islam secara tepat dan betul menyebabkan minatnya berkubur begitu sahaja. “Namun pada 2001 apabila mula berkenalan dengan suami, kami mula mengikuti kelas pengajian Islam di Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim).

“Alhamdulillah, tidak sampai setahun segalanya jelas kini. Bagi saya, Islam itu cukup lengkap dan amat cantik. Yang merosakkan imej agama Islam ini adalah segelintir umat Islam yang tidak memahami dan menghayati seterusnya mempraktikkannya,” katanya.

Sebab itulah beliau sanggup melepaskan pekerjaan tetap dalam bidang perhotelan demi menumpukan sepenuh masa menimba ilmu fardu ain dan fardu kifayah. “Sekurang-kurangnya, dengan ilmu yang sedikit yang ada di dada dapat dikongsikan bersama keluarga dan masyarakat Islam,” cerita Nur Athirah semasa ditemui di Pusat Islam, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Nur Athirah yang mendirikan rumah tangga dengan bapa tunggal beranak dua, Mohd. Ramli Jelani, 43, pada 2002 bersyukur diketemukan jodoh dengan pasangan hidup yang begitu memahami, sentiasa menyokong dan memberi restu untuknya menuntut ilmu. Di samping itu, keluarga mentua, teman-teman dan tenaga pengajar di kelas juga banyak membantu.

Malah katanya lagi, mereka pernah bersama-sama belajar agama di Perkim. Cuma apabila mula mengikuti kelas agama di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di Pusat Islam, Nur Athirah lebih serius memandangkan dia sudah berhenti kerja.

No comments:

Post a Comment