Saya menjalankan Seminar Pembangunan Karakter Berteraskan Surah Luqman.
Menjadi anak muda memang akan jadi anak muda jika sampai umurnya.
Tetapi menjadi pemuda, yang boleh berdiri teguh sebagai tiang umat, perlu ada usaha. Ada ribath!
Ribath dalam ertikata, proses intensif, berfokus dan mengambil masa, agar mudanya muda yang berdiri, bukan bersandar.
Itulah harga sebuah karakter.
Karakter yang berkualiti lebih berharga daripada 100 unta merah.
“Manusia adalah seperti unta, daripada seratus unta hanya seekor sahaja daripadanya yang dapat digunakan dalam perjalanan jauh.” [Hadith riwayat al-Bukhari]
Sebarang usaha untuk melembik dan menggedikkan pemuda umat ini, akan saya banteras dengan upaya yang ada, moga dibantu Allah.
Sebab itu anak-anak saya yang comel, saya
jemur di bawah matahari. Suruh bermain di luar. Main lecah, main bola,
pergi berenang. Legam-legam sikit pun tak apa. Walaupun saya rindu
kepada wajah comel mereka suatu ketika dahulu.
Buah Jambu berkhasiat.
Budak Jambu merbahaya.
Dalam pelbagai masalah umat di era fitnah Dajjal ini, tiada ruang untuk pemuda kita bermetro-metro.
IMPIAN UMAR
Di dalam sebuah rumah di Madinah, ‘Umar
al-Khattab radhiyallaahu ‘anhu duduk bersama dengan sekumpulan sahabat.
Beliau berkata kepada mereka, “nyatakan harapan kamu!” Salah seorang
daripada mereka berkata, “impianku adalah untuk memiliki emas yang dapat
memenuhi rumah ini, agar aku dapat membelanjakannya di jalan jihad.”
‘Umar berkata lagi buat kali yang ketiga, “nyatakan harapan kamu!” Lalu sahabat-sahabat yang ada berkata, “kami sudah tidak tahu apa yang patut diperkatakan wahai Amirul Mu’minin.”
Lalu ‘Umar berkata, “harapanku ialah agar rumah ini penuh dengan lelaki-lelaki seperti Abu ‘Ubaydah ibn al-Jarrah, Muaz ibn Jabal dan Salim budak suruhan Abu Huzaifah, agar mereka semua dapat digunakan bagi meninggikan kalimah Allah!”
Umat mencari pemuda.
Yang muda tenaga, bijaksana fikirannya.
Tegar terhadap kesusahan. Teguh menelusi kesenangan.
Kata Umar al-Khattab radhiyallahu ‘anhu lagi:
“Kuatkan semangat. Kesenangan dan kemewahan tidak kekal selama-lamanya”
Pemuda Islam itu tangannya kasar hatinya lembut.Jauh sekali tangan lembut berhati kasar!
(Dengan ihsan: ABU SAIF @ www.saifulislam.com)